Friday, October 8, 2010

LELAKI IDEAL

Lelaki Juga Mahu Badan Yang Ideal

Pemakanan seimbang, senaman bantu lelaki miliki badan ideal
BAGAIKAN lumrah dalam diari kehidupan wanita untuk mengamalkan diet. Pantang ditegur mengenai perubahan saiz badan, mulalah menggelabah untuk berbuat sesuatu semata-mata tidak mahu digelar si gemuk.
Bagaimana pula senario dunia lelaki? Tentunya isu panas membabitkan berat badan bermain dalam fikiran lelaki terutama jejaka yang menitik beratkan penampilan. Namun, suasananya mungkin berbeza dengan faktor realistik menjadi teras dalam alaman diet seimbang.
Lelaki zaman ini cukup menjaga keterampilan. Bukan saja dalam soal pemilihan pakaian, barangan penjagaan diri mahupun dandanan, lelaki zaman sekarang mahu lebih daripada itu termasuk bentuk badan idaman.
Faktor gemuk diakui menjadi antara penyebab saham pemikat si dara merudum. Desakan ini menyebabkan lelaki berusaha menjadi lebih kurus serta memiliki bentuk badan tegap, berotot dan sasa. Tidak hairan, semakin ramai lelaki bujang berkunjung ke pusat gimnasium selain aktif dalam kegiatan sukan seperti futsal, badminton, bola sepak dan berjoging.
Namun, dalam menghadapi situasi ini, faktor pemakanan harus dititik beratkan untuk menjamin diet seimbang.
Bercerita mengenai diet, pakar nutrisi, Kevin Zahri menyatakan sejauh mana sekalipun amalan berdiet mahupun aktiviti fitnes, amalan pemakanan haruslah seiring dan seimbang. Malah, beliau sentiasa menyebut faktor kualiti berbanding kuantiti.
Bagi pakar nutrisi itu, tidak guna berdiet serta mengambil sesuatu kandungan pemakanan andai tidak peka kandungan makanan yang diambil.
“Tidak bermakna mengamalkan diet sekiranya tidak tahu kandungan makanan yang diambil. Penting untuk kira tahu makanan yang wajar diambil atau dielak,” katanya.
Mengambil contoh dirinya, amalan pemakanan seimbang sentiasa dititikberatkan di sebalik aktiviti sihat serta rutin senaman. Tidak hairan, ramai jejaka cemburu melihat bentuk badan tegap dan ideal miliknya.
Bagi Kevin, beliau sentiasa mengamalkan faktor kualiti berbanding kuantiti. Sambil menambah, dia juga menikmati sesi teh tarik dan menjamu selera seperti orang lain. Apa yang penting, beliau tahu kandungan makanan yang diambil serta kesesuaian pola pemakanan harian.
Selain itu, Kevin tidak berenggang dengan air mineral untuk memastikan kandungan air dalam badan seimbang.
Merujuk prinsip dan pendekatan yang diambil Kevin, nyata amalan diet tidak semestinya memerlukan kita mengorbankan wang ringgit dan masa, sebaliknya impian memiliki bentuk badan ideal dapat digapai melalui teknik serta amalan yang bijak dan praktikal.
Sekiranya bijak meneliti isi kandungan pemakanan selain memilih senaman ideal, apa yang dicita-citakan selama ini akan berhasil. Janganlah pula semangat berdiet sekadar sekerat jalan!
8 tip miliki tubuh sempurna:
  • Pastikan anda tahu kandungan makanan yang diambi.l
  • Elak menahan lapar semata-mata tidak mahu gemuk.
  • Kurangkan kadar sajian makanan yang selama ini menjadi menu tetap.
  • Makan banyak produk bijirin, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Kurangkan penggunaan garam dan gula.
  • Lakukan aktiviti senaman secara berkala.
  • Nikmati gaya hidup sihat seperti beriadah, bersenam serta amalan gaya hidup sihat.
  • Minumlah banyak air terutama air masak sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.
INFO: Langkah penjagaan diet
  • Bagi mengelak berat badan berlebihan, kurangkan pengambilan tenaga dan lemak yang banyak.
  • Tingkatkan penggunaan karbohidrat kompleks dan gula semulajadi daripada 28 peratus kepada 48 peratus
  • Kurangkan pengambilan gula yang diproses daripada 45 peratus kepada 10 peratus daripada keseluruhan jumlah tenaga.
  • Jumlah lemak tidak melebihi jumlah tenaga. Lemak polyunsaturated tidak lebih 10 peratus dan lemak monounsaturated pada kadar 10 peratus hingga 15 peratus.
  • Kurangkan pengambilan kolesterol tidak lebih dari 30mg sehari.
Sumber : Berita Harian
Share/Save/Bookmark

No comments:

Post a Comment