Malaysia mahu ikut langkah China
KONVENSYEN Industri Sukan Malaysia (KISMAS) 2010 yang berlangsung mulai semalam hingga esok meletakkan matlamat untuk menjadikan bidang sukan di negara ini mampu berkembang dengan sendiri tanpa bantuan kerajaan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, buat masa ini, China akan menjadi model kepada Malaysia untuk merealisasikan hasrat itu.
Katanya, adalah tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia tidak perlu lagi ada kementerian yang memajukan sukan seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan Jepun ketika ini.
“Kita memerlukan masa yang panjang untuk mencapai tahap seperti di Amerika Syarikat tetapi dengan adanya KISMAS, kita sedang bergerak ke arah itu dengan menumpukan kepada sukan (seperti sepak takraw dan badminton) yang sudah ada pasaran terlebih dulu.
“Namun, ini tidak bermakna sukan yang masih tidak ada pasaran seperti boling padang misalnya, akan diabaikan pembangunannya, sebaliknya mereka akan terus dibantu kerajaan sehingga berjaya menjadi satu industri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan KISMAS kali kedua di sebuah hotel terkemuka di Seri Kembangan dekat Kuala Lumpur semalam.
Menurutnya, sejak diadakan KISMAS buat kali pertama tahun lalu, sambutan yang diterima daripada pihak penaja amat menggalakkan kerana ia telah berjaya membuka minda mereka tentang sukan sebagai satu industri.
Jelas beliau, syarikat-syarikat seperti CIMB, AirAsia, BMW, Pet- ronas dan Mercedes kini sudah mula sedar tentang peluang pema- saran mereka di samping melaksanakan tanggungjawab sosial mereka.
“Syarikat-syarikat penaja ini sudah mempunyai strategi pemasaran mereka sendiri walaupun KISMAS pertama lalu kita hanya mengetengahkan pernyataan konsepnya sahaja.
“Dalam waktu sama kerajaan yang juga mulai sedar tentang potensi industri sukan ini sedia membantu mereka dengan mengubah dasar percukaian negara.
“Jelas ia satu respon yang baik kepada usaha untuk menarik lebih banyak penajaan selepas ini,” tegasnya.
Beliau berkata, sebuah negara besar seperti China misalnya, masih mengamalkan penyediaan bantuan untuk membangunkan bidang sukan di negara mereka tetapi dalam waktu sama sudah mula mengeluarkan barangan sukan seperti raket badminton berjenama Li Ning.
Bagaimanapun Shabery berkata, barangan sukan berjenama tempatan masih belum mampu mencapai ke tahap itu kerana industri sukan kita masih jauh ketinggalan.
“Tetapi kesedaran syarikat tempatan tentang penajaan di peringkat antarabangsa seperti AirAsia dan Petronas dalam pasukan kereta Formula Satu, AirAsia dalam bola sepak Liga Perdana England serta CIMB dalam sukan golf sudah menampakkan hasilnya,” jelas beliau.
Sehubungan itu Shabery berkata, untuk menghasilkan barangan sukan tempatan yang mampu menembusi pasaran antarabangsa, pembangunan dan pencapaian sukan negara yang kini boleh dianggap sudah berada di landasan tepat perlu bergerak seiring dengan industri sukan ini.
“Sudah tiba masanya, Malaysia kena ubah pendekatan daripada hanya melihat kepada pencapaian sukan sahaja kepada perspektif lain yang lebih komersial dan menguntungkan,” ujarnya.
Shabery turut memberi contoh bagaimana ketika Afrika Selatan menganjurkan Piala Dunia pada bulan Jun lalu tetapi China yang meraih banyak keuntungan.
“Ini kerana alat bunyian vuvuzuela yang menjadi kegilaan penon- ton ketika itu dibuat dan dihasilkan di China,” katanya.
No comments:
Post a Comment