Jemaah haji Malaysia sedia berangkat ke Arafah
MAKKAH: Jemaah haji Malaysia telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk bergerak ke Arafah esok bagi melaksanakan ibadah wukuf di Arafah yang jatuh pada Isnin, 9 Zulhijjah bersamaan 15 November. Rata-rata mereka yang ditemui pasukan media Lembaga Tabung Haji (TH) yang membuat liputan musim Haji 1431 Hijrah, menyatakan sudah bersedia menghadapi hari kemuncak itu yang merupakan rukun wajib dalam ibadah haji.
Wukuf adalah rukun haji paling mudah walaupun jemaah akan berada dalam suasana sesak dan kemudahan awam serba terhad di Padang Arafah. Ini adalah cabaran dan dugaan haji.
Jemaah perlu berada di Arafah pada masa ditentukan iaitu selepas waktu Zuhur 9 Zulhijjah sehingga sebelum Subuh keesokan paginya. Mereka perlu berada di sana dalam sebarang keadaan walaupun sekejap.
Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan jadual perjalanan jemaah ke Arafah mengikut negara bermula 11 pagi esok dan dijangka selesai sebelum 12 tengah malam.
Dianggarkan lebih 1.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia tidak termasuk warga Arab Saudi akan menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini manakala jemaah Malaysia seramai 26,000 orang.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Salleh Abdul Mubin, berpuas hati dengan persiapan yang dibuat TH bagi meningkatkan jati diri dan keyakinan jemaah haji.
Beliau yang juga Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji TH berkata mereka akan dibawa dengan bas dan ditempatkan dalam 16 maktab di Arafah.
"Jemaah yang uzur atau golongan menghadapi masalah daya ingatan serta kelainan upaya akan dibantu oleh petugas TH sehingga mereka selesai menunaikan ibadah pada Jumaat (13 Zulhijjah)," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment