Saturday, November 27, 2010

Mohd. Ziad, Suhana atlet terbaik Sukan Paralimpiad XV


MohD. Ziad Zolkifli (kiri) dari Wilayah Persekutuan dan Nur Suhana Ramlan dari Johor dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukan Paralimpiad Ke-15 yang menutup tirai di Stadium Hang Jebat, semalam.

MELAKA - Mohd. Ziad Zolkifli dari Wilayah Persekutuan dan Nur Suhana Ramlan dari Johor dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukan Paralimpiad Ke-15 yang menutup tirai di Stadium Hang Jebat, semalam.
Mohd. Ziad mencipta dua rekod kejohanan dalam acara melempar cakera dan melontar peluru, manakala Suhana pula cemerlang dengan tiga rekod dalam acara melempar cakera, melontar peluru dan merejam lembing.
Sarawak, yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan buat kali kesembilan berturut-turut sejak 1994 pula, turut meraih dua gelaran lagi apabila memenangi Piala Gerakan Paralimpik iaitu pasukan paling banyak meraih pingat dan Piala Jaguh Negeri untuk pasukan paling banyak meraih pingat emas.
Bagi Piala Gerakan Paralimpik pula dimenangi oleh kontinjen dari Wilayah Persekutuan sebagai negeri paling banyak menyertai sukan yang dipertandingkan sepanjang enam hari temasya berlangsung.
Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang turut merasmikan majlis penutupan temasya tersebut.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab. Karim Sulaiman; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Zainal Abu Zarin; Pengerusi Jawatakuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat.
Selepas Melaka, giliran Pahang pula menjadi tuan rumah Sukan Paralimpiad XIV pada 2012.
Kontinjen Sarawak muncul juara keseluruhan selepas meraih 68 emas, 91 perak dan 74 gangsa, diikuti Johor muncul naib juara dengan 54 emas, 28 perak dan 46 gangsa, manakala Kuala Lumpur menduduki tempat ketiga dengan 41 emas, 35 perak dan 46 gangsa.
Selangor pula berada di tempat keempat dengan 31 emas, 25 perak dan 28 gangsa, manakala tuan rumah Melaka pula sekadar berada di tempat kelima dengan 23 emas, 33 perak dan 33 gangsa.
Temasya enam hari itu yang bermula 21 November lalu disertai 1,926 atlet dan pegawai dari 15 buah negeri yang berkampung di Melaka, menyertai 16 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya kali ini.
Sebanyak enam kategori kecacatan akan dipertandingkan iaitu Orang Kurang Upaya Anggota (OKU), OKU Penglihatan, OKU Spastik, OKU Akal, OKU Pendengaran dan Orang Kerdil. Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment