Thursday, June 16, 2011

New Sabah Times

New Sabah Times

Ibu bapa ada anak istimewa perlu daftar di pejabat kebajikan: Johnny

16th June, 2011

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Inanam Datuk Johnny Goh menyeru ibu bapa yang mempunyai ‘anak-anak istimewa’ atau Orang Kurang Upaya (OKU) supaya mendaftarkan mereka di mana-mana pejabat kebajikan terdekat.

Beliau berkata, ini bagi mengelak anak-anak istimewa itu terpinggir daripada program pemulihan dan pembangunan untuk OKU.

“Saya amat berbangga kerana Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kota Kinabalu telah banyak membantu dalam perkembangan dan kemajuan golongan OKU melalui program intervensi awal dan sokongan keluarga yang dilatih.

“Program ini juga memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat khususnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak kurang upaya untuk mendaftarkan anak mereka di PDK terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Pesta Manuai dan Penyerahan Elaun Khas anjuran PDK daerah Kota Kinabalu, di pusat PDK Likas, dekat sini, kelmarin.

Turut hadir Penolong Pengarah Unit Pembangunan Komuniti dan Khidmat Masyarakat merangkap Pegawai Penyelaras PDK Negeri Sabah Lily Chin, Pengerusi PDK Kota Kinabalu Ngo York Kong dan Penyelia PDK Kota Kinabalu Rindah Gindol.

Pada majlis itu Johnny menyampaikan sumbangan kerajaan pusat berupa wang tunai kepada 77 pelatih di pusat itu.

Selain itu, beliau turut memberikan sumbangan peribadi sebanyak RM2,000 untuk tujuan pembelian keperluan di PDK Kota Kinabalu.

“Program PDK ini mengamalkan konsep 1Malaysia dalam aktiviti sosial, di mana mereka menyambut perayaan yang dirayakan oleh pelbagai masyarakat sepanjang tahun seperti Hari Raya, Tadau Kaamatan, Hari Krismas dan Tahun Baru Cina.

“Amalan seperti ini amat baik untuk membina masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan seterusnya melahirkan masyarakat penyayang,” katanya.

Johnny berharap ibu bapa kepada para pelatih di PDK dapat memberikan bekerjasama terutama dalam program perkembangan sosial bagi membantu meningkatkan ilmu pengetahuan kepada para pelatih.

Sementara itu Rindah berkata, setakat ini seramai 97 pelatih berdaftar dengan PDK Kota Kinabalu dan daripada jumlah itu seramai 77 pelatih aktif dan 20 orang dilawat di rumah setiap bulan.

Beliau berkata sebanyak 27 PDK seluruh Sabah yang menyediakan pelbagai latihan mengenai pengurusan diri, pengurusan sikap atau tingkah laku untuk para pelatih.

“Melalui latihan-latihan khas yang diberikan, kami berharap mereka boleh dimasukkan dalam sekolah khas kerana kebanyakan mereka mempunyai potensi masing-masing,” katanya.

Rindah berkata, selain bantuan daripada kerajaan, PDK turut menerima bantuan daripada badan-badan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

“Kebanyakan pelatih di sini adalah daripada kawasan Inanam, Menggatal, Kepayan dan Kota Kinabalu berumur antara dua bulan hingga 25 tahun,” katanya dan menambah seramai empat petugas di pusat itu iaitu seorang penyelia dan tiga orang petugas.

No comments:

Post a Comment