Friday, June 17, 2011

Berita Harian Online | Cinta itu buta!

Berita Harian Online | Cinta itu buta!

Cinta itu buta!
Oleh Nor Hatina Shuib
bhnita@bharian.com.my
2011/06/17

  • Foto

  • Foto

    Siti Huraizah Roslan

  • Foto

    Keluarga bahagia Siti Bedah.

Dilema dan cabaran berkasih OKU

"MENTALITI masyarakat belum terbuka, sedangkan cinta itu akan membuatkan hidup lebih mudah, gembira dan bahagia. Adanya cinta akan membuatkan kehidupan insan lebih bersemangat", luah gadis cekal berusia 27 tahun yang menghidap trokoma, sejenis penyakit jangkitan bakteria yang sudah 20 tahun dilalui sebagai golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Dilahirkan sebagai bayi normal sehinggalah mengalami kecacatan penglihatan ketika berusia tujuh tahun, Siti Huraizah Roslan, gadis ramah ini seperti wanita lain yang mahu disayangi dan menyayangi.
Namun, seperti sudah ditakdirkan, tidak semua kebahagiaan berakhir dengan keindahan dan tidak semua penderitaan akan menemui kebahagiaan.

Percintaan dua tahun setengah bersama insan yang bernama lelaki akhirnya memusnahkan perasaan suci dan pengalaman itu menjadi pengajaran kepadanya untuk terus melalui kehidupan mendatang.

Apatah lagi insan yang pernah disayanginya itu kini sudah dimiliki wanita normal dan tidak sepertinya.

“Saya tidak pernah jatuh cinta sehingga saya berjumpa dengan si dia dalam satu ekspedisi mendaki gunung. Latihan yang memakan masa beberapa minggu membuatkan saya mula rapat dengannya.
“Inilah kali pertama saya didekati lelaki dan bersama dengannya membuatkan saya sungguh selesa,” katanya yang mula menyingkap kisah cintanya.

Siti Huraizah, berkata jika sebelum ini beliau langsung tidak memikirkan akan jatuh cinta, kehadiran lelaki yang lebih muda daripadanya yang juga OKU membuatkan dirinya membuka hati yang sebelum ini terkunci rapat untuk mana-mana lelaki.

“Saya ingat pesan ibu supaya berhati-hati dalam bercinta. Lagi pun, saya sendiri berasa rendah diri untuk bercinta atas kekurangan diri yang tidak boleh melihat.

“Dia juga seperti saya. Hanya yang membezakan saya dan dirinya adalah tempoh kecacatan apabila saya sudah 20 tahun tidak dapat melihat, manakala dia mengalami masalah penglihatan hanya ketika berusia 19 tahun,” katanya.

Gadis anak kelahiran Kelantan ini memberitahu, sikap lelaki itu yang penyayang, baik dan prihatin membuka ruang kepada mereka berdua berkenalan sehingga percintaan berlangsung selama hampir tiga tahun.

“Saya tidak menyalahkan dirinya walaupun dia sudah berkahwin kini. Sebagai anak dia perlu mendengar cakap ibu bapa yang melahirkannya.

“Saya berdoa dia bahagia dengan wanita itu dan sejak ditakdirkan tidak boleh melihat sehinggalah hati ini dilukai, saya mahu sentiasa reda kerana pasti Allah menjanjikan kebahagiaan kepada saya nanti.

“Saya juga sudah biasa disakiti dengan kekurangan diri ini, namun keluarga sentiasa di sisi saya saat bahagia dan duka,” katanya.

Beliau berkata, mungkin disebabkan mengalami kecacatan penglihatan, percintaan itu dianggap sesuatu yang akan memberikan kesusahan kepada mereka apatah lagi jika hubungan itu diakhiri dengan perkahwinan.

Katanya, serik untuk bercinta tidak pernah berada dalam kamus hidupnya dan jika ditakdirkan bertemu lelaki baik selepas ini, dia pasti menerimanya.

Beliau berkata, sebagai OKU bertekad untuk belajar hidup berdikari seperti individu lain dan tanggapan sesetengah masyarakat bahawa golongan sepertinya tidak mampu hidup sendiri, menjaga dan mendidik anak dan melakukan kerja rumah adalah salah sama sekali.

“Kami golongan OKU lebih berdikari. Saya sudah dibiasakan melakukan semua aktiviti sendiri. Membasuh, memasak dan kerja mengemas rumah semua saya lakukan sendiri tanpa pertolongan sesiapa.

“Cuma masih ada yang menganggap kami tidak mampu menjalankan rutin harian
seperti individu normal lain,” katanya.

Beliau berkata, bukan mudah insan sepertinya untuk bercinta namun melihat perhubungan cinta itu tidak mengenal usia, rupa paras dan berharap mentaliti segelintir masyarakat akan berubah selepas ini.

“Jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan lelaki normal, dia sudah bersedia jika lelaki itu bersungguh untuk memilikinya dan yang penting hati perlu ikhlas,” katanya.

Berbeza pula dengan nasib, Siti Bedah Salleh yang mengecapi mahligai bahagia selama 44 tahun bersama pasangannya , Abdul Rahman Abas, 70 sekali gus membuktikan bahawa golongan OKU juga mampu mempunyai keluarga bahagia.

Bergelar isteri pada usia 22 tahun, beliau menjalankan tanggungjawab sebagai isteri seperti insan normal lain. Jika suri rumah yang normal membasuh pakaian, memasak, mengemas rumah dan melakukan pelbagai aktiviti lain, wanita yang mengalami kecacatan penglihatan sejak usia lima tahun ini tidak terkecuali.

“Saya mengenali suami saya melalui seorang rakan dan selepas enam bulan berkenalan, kami disatukan dan saya bersyukur suami dan keluarga mentua termasuk sanak-saudaranya menerima saya seadanya," katanya.

Beliau berkata, sepanjang menjadi menantu keluarga itu, dia tidak pernah tersisih dan mereka melayan saya sama seperti orang lain.

“Saya menjalankan tanggungjawab sebagai menantu dan isteri dengan baik. Apa yang orang lain boleh lakukan, saya pastikan mampu melakukannya. Mungkin sifat dan usaha gigih menjalankan tanggungjawab tanpa perlu meminta bantuan daripada orang lain membuatkan saya diterima seadanya,” katanya.

Beliau berkata, sebagai OKU, dia tidak mahu membebankan sesiapa dan mahu kehadirannya dilihat sama seperti insan lain dan berpendapat rasa rendah diri yang sering hadir dalam hidup golongan itu hanya menjadikan mereka lemah dan tidak bersemangat.

Isteri kepada bekas pengurus di sebuah kilang di Johor ini sempat menasihat golongan OKU supaya berusaha dalam melalui kehidupan yang penuh cabaran.

Katanya, cinta hadir dalam hidup semua insan dan semua berhak memilikinya dan kecacatan bukan penghalang kepada kebahagiaan.

Ibu kepada enam anak berusia 26 hingga 42 tahun ini akan terus cekal melalui kehidupan kerana dilahirkan sebagai OKU bukan penghalang untuk menemui cinta sejati.


Sifu kata: Mereka ini bukan buta dan jangan panggil mereka buta tapi mereka hanya cacat penglihatan atau rabun tapi tidak buta bukan di hati bukan tingkah laku mereka, hanya mata mereka yang rosak. Mereka tidak di minta di lahirkan begini atau ingin menjadi cacat kekal. Satelah bersama rakan cacat penglihatan ini, Sifu tahu berapa murni nya hati mereka dan mereka ingin hidup saperti orang biasa tapi apa kan daya sudah suratan mereka menjadi cacat.

Sifu merayu agar ada dermawan sudi menghulur derma atau zakat atau wakafkan se naskah Al Quran Braille untuk menjadi milik yang cacat penglihatan. Semua derma, zakat atau wakaf ini boleh ditolak dari cukai pendapatan untuk RM240 senaskah Al Quran Braille yang berat nya hampir 6 kg. dalam 6 jilid. Hubungi Sifu jika ada yg berhajat.

No comments:

Post a Comment