Monday, November 14, 2011

Tangani obesiti untuk bendung diabetes

Tangani obesiti untuk bendung diabetes
S.M. Mohamed Idris, Presiden CAP
Diabetes telah menjadi satu wabak penyakit yang menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia sehingga mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) mengisytiharkan 14 November sebagai Hari Diabetes Sedunia.

Di Malaysia, di sebalik pelbagai usaha dan kempen diadakan untuk memberi kesedaran terhadap penyakit ini, peningkatan kes-kes diabetes, terutama diabetes Jenis 2, telah menjadi wabak yang berleluasa. Kini dengan kepadatan penduduk kira-kira 28 juta dan pada kadar kelaziman 15%, adalah dianggarkan terdapat 4.2 juta penghidap diabetes di Malaysia.

Kelaziman kes-kes diabetes di Malaysia telah melonjak daripada 1-2% pada 1960, kepada 6.3% pada 1985, 8.3% pada 1996 dan 14.9% pada 2006.

Memandangkan obesiti menjadi penyumbang utama kepada diabetes, sudah sewajarnyalah masalah obesiti ditangani untuk mengurangkan peningkatan kes diabetes yang kini berada di tahap yang membimbangkan.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, 60% penduduk Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas mempunyai berat badan yang berlebihan. Ini disebabkan mereka makan terlalu banyak, gemar makan makanan yang tidak berkhasiat dan kurang bersenam.

Obesiti merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan diabetes. Berat badan yang berlebihan berbanding ketinggian seseorang, bertindak sebagai faktor pencetus bagi diabetes mellitus. Disebabkan lemak tambahan dalam badan, insulin tidak berfungsi dengan sebaiknya. Biasanya fungsi utama insulin ialah membenarkan gula di dalam darah masuk ke dalam sel-sel otot dan tisu. Tetapi disebabkan terlalu banyak lemak dalam tubuh, sel-sel otot dan tisu menjadi rintangan kepada insulin, menyebabkan paras gula tinggi di dalam darah (hiperglisemia) dan akhirnya mencetus diabetes.

Satu lagi faktor yang menyumbang kepada obesiti ialah kemudahan mendapatkan makanan di mana tempat-tempat makan beroperasi 24 jam di negara ini. Ini secara tidak langsung “membantu” rakyat Malaysia menyemai tabiat makan lewat malam. Makan pada waktu begini telah dikaitkan dengan pertambahan berat badan.

Selain itu restoran makanan segera yang tumbuh bagai cendawan turut menyumbang kepada obesiti. Makanan segera yang kaya lemak dan garam dengan minuman ringan yang tinggi kandungan gulanya berjaya menarik minat kanak-kanak untuk menjamu selera di sana. Pengambilan berterusan makanan seperti itu hanya meningkatkan risiko mereka menghidap diabetes.

Menurut satu kajian ke atas 90,000 wanita yang diterbitkan di dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika, adalah disarankan bahawa peningkatan pengambilan minuman bersoda dan bergula mungkin telah meningkatkan risiko diabetes di kalangan orang dewasa.

Kajian-kajian lain pula menunjukkan pengambilan makanan yang bertapis dan yang diproses turut menyumbang kepada diabetes. Ini termasuklah produk makanan yang mengandungi tepung, sirap jagung tinggi fruktosa, gula halus, lemak trans, lemak tepu, alkohol, kafein, nikotina serta lain-lain bahan kimia yang memudaratkan yang digunakan sebagai bahan penambah makanan. Makanan ini apabila diambil secara berlebihan akan menjadikan tubuh berasid menyebabkan keradangan dan merosakkan sel-sel manusia. Pada masa yang sama, ketidakseimbangan kimia terbentuk, yang mencetuskan nafsu makan yang tidak sihat. Selepas bertahun-tahun, ia membawa kepada penyakit-penyakit seperti tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit jantung dan kanser.

Sementara itu pengambilan lemak dan daging meningkatkan berat badan penduduk di Malaysia, menyebabkan mereka mengembangkan penyakit seperti diabetes, serangan jantung, penyakit buah pinggang, paras kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi. Pengambilan daging per kapita di Malaysia ialah 48 kilogram (kg) pada 2005. Angka ini lebih tinggi daripada 35 kg di Jepun dan Korea, dan cuma 24 kg di Thailand.

Dalam satu kajian Sekolah Kesihatan Awam Harvard (HSPH) yang membabitkan lebih 400,000 subjek, penyelidik menemui kaitan rapat di antara pengambilan daging merah (khususnya daging yang diproses) dan peningkatan risiko diabetes. Kajian juga menunjukkan bahawa menggantikan daging merah dengan protein yang lebih sihat, misalnya susu rendah lemak, mampu merendahkan risikonya.

Tinjauan itu mendapati bagi setiap dua orang pesakit diabetes yang dikenal pasti, terdapat sekurang-kurangnya seorang lagi yang belum didiagnosa dan belum dirawat sehinggalah muncul komplikasi yang sukar untuk diubati. Lebih buruk lagi, diabetes Jenis 2 tidak lagi terbatas kepada mereka yang berusia pertengahan atau lanjut kerana kini kanak-kanak semuda usia 10 tahun turut menghidap diabetes (kedua-dua Jenis 1 dan 2).

Kadar kelaziman kes-kes diabetes di Malaysia telah bertambah jauh lebih cepat daripada yang dijangkakan, iaitu hampir dua kali ganda sejak dekad lalu. Diabetes bukan saja membebankan sumber-sumber negara, tetapi turut membebankan penghidapnya apabila terpaksa menanggung pelbagai kesulitan seperti kaki terpaksa dipotong, hilang penglihatan, diserang penyakit jantung, penyakit buah pinggang dan kerosakan saraf.

Peningkatan kes-kes diabetes yang membimbangkan memerlukan langkah-langkah kukuh di pihak kerajaan dalam membendung wabak yang semakin berleluasa ini.

Sehubungan ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan supaya:

o Membendung penjualan makanan yang tidak sihat.

o Makanan yang tidak berkhasiat yang tinggi kandungan lemak, gula dan bahan penambah tidak harus digalakkan dengan mengenakan cukai ke atas makanan tersebut.

o Mendidik penduduk Malaysia mengenai bahaya obesiti dan diabetes.

o Menggalakkan senaman dan menyediakan kemudahan yang sewajarnya di semua kawasan perumahan.

No comments:

Post a Comment