Monday, December 19, 2011

M'sia perlu lebih peka pada pencapaian atlet OKU
Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah berkata semua rakyat dan media Malaysia hendaklah memberi sokongan padu dan lebih peka dengan perkembangan dan pencapaian atlet paralimpik negara.  

Merujuk temasya Sukan Para Asean yang sedang berlangsung di Solo, Indonesia, beliau berkata walaupun atlet paralimpik terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) mereka tetap atlet kebangsaan dan berkerja keras mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa.

"Adalah tidak adil sekiranya hanya atlet normal dijulang dan disebut-sebut sebagai wira negara dan mendapat perhatian meluas daripada media negara sebaliknya atlet OKU seakan dipinggirkan walaupun berjaya mencipta nama di peringkat dunia.

"Mereka juga atlet kebangsaan dan seharusnya turut diterima sebagai ikon masyarakat kerana pengorbanan, usaha dan kepayahan yang dilalui atlet paralimpik lebih besar nilainya daripada atlet normal," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata nilai moral seperti kesungguhan, kecekalan, sanggup bersusah payah, semangat kebangsaan dan tidak kenal erti putus asa yang ada pada atlet paralimpik seharusnya dijadikan teladan masyarakat Malaysia dalam membina kerjaya mahupun kehidupan seharian.

Katanya masyarakat Malaysia, yang berhasrat menjadi sebuah negara maju, seharusnya lebih menghargai warga OKU kerana tahap penghargaan berkenaan boleh  dijadikan sebagai 'kayu ukur' terhadap nilai-nilai sesebuah masyarakat.

- Bernama

No comments:

Post a Comment