HUGS bantu anak yatim, OKU
|
TIDAK pernah terasa bosan di hati Aishah Ismail dengan tugas sukarelawan yang dilakukannya itu walaupun berdepan dengan seribu satu ragam manusia.
Bahkan, bukan sedikit pengorbanan yang perlu dilakukannya untuk menguntumkan senyuman di wajah orang lain.
Malah, pengasas sebuah badan kebajikan yang diberi nama HUGS atau Helping Underprivileged Gain Strength itu sanggup menghabiskan masa mudanya demi menggerakkan HUGS untuk membantu mereka yang memerlukan.
Sejak menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut pada Disember 2009, gadis berusia awal 30-an itu meletakkan sepenuh jiwa raganya untuk HUGS. Apatah lagi, kerja-kerja kebajikan dan sukarelawan sebenarnya sudah sebati dengan jiwanya sejak kecil lagi.
HUGS ditubuhkan sebagai satu saluran bagi membantu kanak-kanak yatim piatu dan orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan bantuan untuk berdikari.
Dalam bahasa Inggeris mengikut kamus, HUG bermaksud memegang seseorang atau sesuatu dekat dengan badan anda menggunakan tangan, kebiasaannya bagi menunjukkan yang anda suka, sayang atau menghargai mereka.
Bertitik-tolak daripada maksud tersebut projek HUGS ditubuhkan atas ilham Aishah yang juga bekas Presiden Lions Club Kuala Lumpur (KLCAP).
"HUGS tercetus selepas saya berjumpa dengan kanak-kanak terdiri dari golongan OKU dan yatim piatu yang memerlukan perhatian untuk berdikari.
"Saya percaya kanak-kanak ini harus diberi peluang yang sama seperti kanak-kanak normal yang lain," kata anak kelima daripada enam adik-beradik itu.
Berdikari
Kata Aishah yang masih belum berumah tangga itu, penubuhan HUGS lebih tertumpu untuk menyediakan bantuan perubatan dan pembelajaran supaya kanak-kanak tersebut dapat berdikari sekali gus meneruskan kelangsungan hidup.
"Pernahkah kita terfikir betapa beruntungnya diri kita ini mempunyai keluarga yang lengkap, dikelilingi dengan kasih sayang dan sihat tubuh badan.
"Namun, ada kanak-kanak di luar sana yang yatim piatu, OKU dan sangat dahagakan kasih sayang. Atas keadaan itu saya menubuhkan badan kebajikan bukan kerajaan ini untuk membantu kanak-kanak terbabit bagi meneruskan hidup," katanya.
Ujar Aishah, setakat ini HUGS telah memilih dua buah rumah anak yatim yang telah dibantu untuk mendapatkan sumbangan dana selain, kira-kira enam orang kanak-kanak yang berasal daripada keluarga yang susah serta kelainan upaya untuk mendapatkan bantuan.
"Enam orang kanak-kanak tersebut masing-masing mengalami masalah kesihatan dan kewangan selain pendidikan," kata pengasas HUGS itu.
HUGS dengan kerjasama KLCAP katanya, akan mengenal pasti keadaan diri anak yatim piatu dan OKU tersebut terlebih dahulu sebelum memberi bantuan.
Maklumat penuh mengenai sejarah perubatan akan diperoleh dari hospital untuk melengkapkan maklumat mengenai situasi kesihatan mereka.
Selain itu, anak yatim piatu yang OKU juga boleh terus mendapatkan rawatan di hospital terpilih yang dikehendaki. Jika perlu anak yatim itu akan dirujuk kepada doktor pakar untuk khidmat nasihat dan rawatan perubatan.
Tidak ketinggalan mereka juga akan dihantar untuk mengikuti program pendidikan khas berdasarkan keadaan diri mereka masing-masing.
"Pembangunan diri anak yatim dan OKU terbabit dipantau dengan teliti agar pada masa hadapan mereka mampu berdikari," ujarnya yang menyertai aktiviti sukarelawan sejak zaman sekolah.
Kata Aishah ketika ditemui, dengan menyertai aktiviti sukarelawan dirinya berasa puas terutamanya apabila melihat orang yang dibantu berasa gembira.
Beliau yang aktif dalam gerak kerja Lions Club itu, percaya bahawa hampir semua pertubuhan sukarelawan yang ada di dunia ini mempunyai misi yang sama iaitu untuk membuat perubahan yang baik kepada dunia.
Lions Club Antarabangsa merupakan pertubuhan sukarela yang berjaya mencungkil bakat dan semangat kesukarelawanan Aishah.
Dengan menyertai hanya satu badan pertubuhan sukarelawan, fokus dapat diberikan sepenuhnya untuk menjayakan misi tersebut dengan penuh komited.
Walaupun bergelar sukarelawan menuntut pengorbanan yang bukan sedikit, beliau gembira kerana sentiasa mendapat sokongan padu daripada keluarganya.
Pelukan HUGS
Antara kanak-kanak yang berjaya mendapat pelukan kasih sayang daripada HUGS termasuklah Nor Aina Najwa Nor Azimin, 2.
Kanak-kanak itu menderita penyakit mata Medpor Orbital sejak lahir.
Bapanya, Nor Azimin Mohd. Isa, 45, mengakui bersyukur apabila bertemu jodoh dengan HUGS dan beban masalah yang dialami keluarganya semakin ringan.
Walaupun sudah beberapa kali melakukan pembedahan di hospital keadaan Nor Aina bukan sahaja tidak pulih sebaliknya semakin teruk. HUGS kemudian membawa Nor Aina untuk dirujuk ke Pusat Rawatan Pakar Mata Antarabangsa (ISEC) di Mid Valley, Kuala Lumpur.
Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor mengesahkan bahawa implan yang dimasukkan di dalam matanya telah hancur dan menyebabkan mata Aina bernanah.
"Dengan bantuan HUGS yang menanggung kos pembedahan Nor Aina, akhirnya pembedahan dilakukan bagi merawat jangkitan di dalam matanya, seterusnya memasukkan implan yang baru.
"Alhamdulillah, sehingga kini saya lihat Nor Aina tidak lagi menangis air mata darah atau kesakitan. Keadaan kesihatannya semakin baik meskipun doktor mengesahkan Nor Aina tidak akan dapat melihat lagi buat selama-lamanya," kata Nor Azimi
No comments:
Post a Comment