AXA Affin perkenalkan insurans golongan cacat penglihatan
KUALA LUMPUR 21 Mei - AXA Affin General Insurance Bhd. (AXA Affin) telah memperkenalkan skim insurans SmartAid iaitu skim perlindungan kemalangan peribadi kepada golongan cacat penglihatan dengan bayaran premium serendah RM12.15 setahun.Skim yang dilaksanakan bersama-sama Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) itu bertujuan menyediakan perlindungan kepada 21,000 individu yang cacat penglihatan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ketua Pegawai Eksekutif AXA Affin, Jahanath Muthusamy berkata, skim perlindungan tersebut merupakan yang pertama ditawarkan di Malaysia dalam usaha pihaknya menjalankan tanggungjawab sosial memandangkan kurangnya kemudahan sedemikian kepada golongan cacat penglihatan.
Menurutnya, skim tersebut dibahagikan kepada tiga pilihan bayaran premium tahunan iaitu RM12.15, RM24.30 dan RM56.30 dan kadar yang dikenakan adalah tetap tanpa sebarang caj tambahan.
"Dalam setiap pelan, pelanggan akan mendapat faedah bayaran akibat kemalangan sehingga kematian dan kecacatan kekal selain tanggungan rawatan kesihatan dan kos pengkebumian" katanya pada majlis pelancaran skim itu di sini. hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah JKM, Lai Poh Guat dan pemangku Presiden MAB, Datuk S. Kulasegaran.
Menurutnya, syarikat itu juga akan menyediakan sijil perakuan yang disediakan dalam bentuk tulisan braille.
Sementara itu, Kulasegaran berkata, MAB merancang untuk menghantar kertas kerja kepada JKM bagi memohon kos pembayaran premium khususnya kepada golongan cacat penglihatan yang tidak bekerja.
Pada masa yang sama, Poh Guat memuji peranan yang dimainkan oleh AXA Affin dalam menyediakan kemudahan ini kerana ia memberi keyakinan dalam menjalani kehidupan harian.
Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut tentang skim perlindungan ini boleh melayari laman sesawang MAB di www.mab.org.my atau menghubungi 03-2272 2677.
Tanya dengan SBM juga untuk keterangan lanjut
No comments:
Post a Comment