Satu rumah, satu naskhah
Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail
smohd@bharian.com.my
SEMANGAT mereka membuak-buak mahu turut sama membaca al-Quran, namun apakan daya sudah ditakdirkan Tuhan, mereka tiada upaya dari segi penglihatan. Lalu hanya satu cara menjadi pilihan, sekadar mampu mendengar ayat suci dibacakan sebelum ke dalam memori ia disimpan.
"Sepatutnya pihak berkuasa bertanggungjawab dalam hal agama mengambil inisiatif menyediakan al-Quran Braille di masjid"
Dato Mah Hassan
Seiring perkembangan zaman, teknologi juga turut berkembang. Proses membaca al-Quran buat golongan cacat penglihatan menjadi semakin mudah dan menyenangkan. Dato Mah Hassan
Tercipta al-Quran Braille umpama sinar suci buat mereka. Apa tidaknya, kandungan kitab Allah yang selama ini hanya mampu diperdengarkan oleh orang lain kini sudah boleh dibaca sendiri. Banyak bezanya di antara mendengar dan membaca sendiri.
Mengimbau kemunculan al-Quran Braille, ia pada mulanya terhasil menggunakan mesin taip Perkins Brailler, tetapi proses menaipnya memakan masa amat panjang. Untuk menyiapkan 30 juzuk, ada kala mengambil masa sehingga setahun.
Naskhah kemudian dihantar kepada Jawatankuasa Penyemakan al-Quran pada 1999 dan dibuktikan tidak ada kesalahan pada cetakan, namun timbul pula masalah lain, kitab suci dalam cetakan sedemikian tidak mampu menampung permintaan kumpulan sasaran.
Menyedari masalah itu, Dato Mah Hassan Omar mengambil langkah berani menggunakan komputer `bersuara’ sebagai usaha menggalakkan lebih ramai orang buta membaca dan menghayati kitab suci.
(Kini KL Braille melalui Persatuan Braille Malaysia telah melancarkan dana untuk percetakan Al-Quran Braille ini melaui sumbangan atau berzakat atau berwakaf Al-Quran Braille ini sila hubungi Sifu atau 03-40220046)
“Sebelum ini, kami menggunakan mesin taip Braille menghasilkan al-Quran untuk golongan cacat penglihatan, tetapi prosesnya memang mengambil masa. Contohnya jika lima orang membaca al-Quran, dalam tempoh setahun hanya lima juzuk al-Quran cetakan ini dapat dihasilkan,” katanya.
Lama sebelum menghasilkan al-Quran Braille sendiri, SBM mendapat sumbangan al-Quran cetakan itu daripada Badan Yayasan Kebajikan Penatrat Islam Indonesia, namun oleh kerana keperluan untuk kumpulan sasar di republik itu juga tinggi, sumbangan itu terpaksa dihentikan.
Pada 1990, muncul teknologi komputer bersuara untuk kegunaan golongan ini dan tanpa berfikir panjang, SBM memutuskan untuk membeli kemudahan itu sebelum bersama dua rakan lain cuba memasukkan data al-Quran ke dalam komputer berkenaan.
“Ketika itu, kami yakin al-Quran berbentuk Braille dapat dicetak dengan lebih cepat berbanding cara menaip,” katanya sambil menambah usaha yang dimulakan mereka pada 1999 berhasil dan lebih membanggakan cetakan melalui komputer berjaya menyiapkan dua naskhah kitab suci Braille hanya dalam tempoh 10 jam.
Bagaimanapun, SBM masih menghadapi kekangan terutama dari segi kewangan kerana kos mencetak senaskhah kitab suci jenis itu yang boleh mencecah RM300 adalah di luar kemampuan persatuan.
Kekangan itu sekali gus membantutkan matlamat mereka yang mahu melihat sekurang-kurangnya dalam sebuah keluarga Islam yang ada ahlinya cacat penglihatan, ada senaskah al-Quran Braille.
“Kos untuk sekotak kertas Braille saja sudah kira-kira RM120. Kami memerlukan kira-kira 1,000 helai kertas jenis itu untuk mencetak senaskah al-Quran, belum dikira lagi kertas Braille yang rosak disebabkan masalah mesin cetak,” katanya yang juga seorang peguam dan turut menerajui Pusat Sumber Braille Kuala Lumpur.
Namun, ketika itu pelbagai organisasi yang prihatin dengan masalah golongan cacat penglihatan turut menyumbang al-Quran Braille seperti Yayasan Emkay, Yayasan Sime Darby, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan orang perseorangan.
Menyambung kisah perit mereka dalam menghasilkan al-Quran Braille, Mah Hassan berkata, kertas yang diguna bagi memuatkan cetakan itu juga memainkan peranan kerana ketebalannya jika dikira dalam bentuk timbangan mesti tidak kurang 150 gram dan permukaannya pula tidak kasar bagi memudahkan pembacaan.
“Sejak diperkenalkan, ada sekurang-kurangnya 5,000 naskhah al-Quran Braille diletakkan di sekolah dan pusat latihan golongan cacat penglihatan seluruh negara, namun agak menyedihkan kerana sukar mencari naskhah berkenaan di kebanyakan masjid utama di negara kita.
“Sepatutnya pihak berkuasa bertanggungjawab dalam hal agama mengambil inisiatif menyediakan al-Quran Braille di masjid untuk kegunaan jemaah cacat penglihatan. Saya juga merayu lebih banyak syarikat korporat membantu dalam hal ini supaya dalam setiap keluarga Islam yang ada penghuni cacat penglihatan, sekurang-kurangnya ada senaskhah al-Quran Braille,” katanya.
INFO
al-Quran Braille
Tulisan Braille
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM)
Sifu berkata :Tahniah Dato Mah Hassan Omar yang telah menerima pingat DIMP dari Sultan Pahang bersemperna dengan sambulan Keputraan Tuantu baru ini di Pekan semalam. Ini adalah berkat dan hasil penglibatan untuk memberi cahaya kepada raran yang cacat penglihatan untuk dapat membaca Al-Quran dan Satu Rumah Satu Naskah.
No comments:
Post a Comment