Wednesday, August 14, 2013

Atlet paralimpik dapat sama rata


PUTRAJAYA - Memang satu keputusan yang mengejutkan, kontroversi atau pun tidak, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa pemberian Skim Hadiah Kemenangan Atlet (Shakam) yang diterima atlet normal selama ini akan turut dinikmati oleh atlet paralimpik negara secara sama rata.
Keputusan itu dibuat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, semalam yang mahukan layanan dan pengiktirafan terhadap atlet paralimpik dilakukan secara adil serta saksama.
"Pemberian insentif kepada atlet paralimpik perlulah sama rata dengan atlet yang normal. Bagi saya tidak ada bezanya kerana mereka juga bertanding di peringkat tertinggi. Jadi, ini yang kita cuba lakukan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2013 di sini, semalam yang turut dihadiri Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah di sini, semalam.
Ini bermakna, atlet paralimpik negara yang menyertai Sukan Paralimpik di Rio pada 2016 turut berpeluang menerima insentif bernilai RM1 juta sekiranya mereka meraih pingat emas, RM300,000 untuk perak dan RM100,000 bagi pingat gangsa.
Berbanding ganjaran sebelum ini, atlet paralimpik hanya menerima RM300,000 jika berjaya membawa pulang pingat emas, RM200,000 untuk perak, manakala bagi pingat gangsa atlet berkenaan diberi RM100,000.
Khairy memberitahu, insentif tersebut akan diberi mengikut skala yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini dan atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli bakal menjadi penerima pertama setelah keputusan tersebut dibuat, semalam.
"Ziyad memenangi pingat emas pada kejohanan dunia, baru-baru ini, jadi sudah tentu dia akan diraikan dan diberi ganjaran yang sewajarnya," ujarnya.
Muhammad Ziyad meraih pingat emas acara lontar peluru kategori F20 lelaki pada Kejohanan Olaharaga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Lyon, Perancis, 22 Julai lepas.
Atlet berusia 23 tahun itu yang pertama kali beraksi di kejohanan tersebut, melakukan lontaran sejauh 15.32 meter untuk pingat emas dan menewaskan Jeffery Ige dari Sweden dan Todd Hodgetts dari Australia.
Bagaimanapun, Khairy dalam ucapannya mengakui keputusan tersebut bakal mencetuskan pelbagai reaksi termasuk pihak yang mungkin kurang menyenangi tindakan tersebut.
"Saya sedar keputusan saya ini mungkin ada yang mempertikaikan, tetapi setelah berfikir sedalam-dalamnya dan mendapat maklum balas daripada rakyat Malaysia melalui laman sosial, saya nekad dengan keputusan saya ini," tegasnya.
Sementara itu, Malaysia bakal menjadi tuan rumah AYPG 2013 yang berlangsung pada 26 hingga 30 Oktober ini dan dijangka seramai lebih 2,000 atlet dari 42 negara Asia yang bernaung di bawah Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) akan menyertai temasya tersebut di ibu negara

No comments:

Post a Comment