KAMPUS
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui pusat sukannya berhasrat menjadikan Sukan Staf UMS sebagai pemangkin pembangunan kecemerlangan sukan dan melahirkan atlet profesional daripada institusi pengajian tinggi.
Pendaftar UMS Datuk Abdullah Md Said berkata program seumpama itu boleh melahirkan lebih ramai atlet daripada kalangan pelajar dan staf mewakili IPT di bidang sukan termasuk peringkat universiti tempatan.
"Pemilihan atlet yang mewakili universiti itu diharap dapat menambah kelahiran ahli sukan bermutu dan mampu menaikkan nama universiti di masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Kemuncak Sukan Staf UMS berlangsung selama 22 hari yang berakhir pada Isnin.
Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Sukan Staf UMS ke-12 berkata program yang dianjurkan sejak 2008 itu dapat mempromosikan budaya hidup sihat dan cergas di kalangan warga UMS.
"Sebanyak 19 acara sukan dianjurkan bermula dengan golf pada 21 Januari lepas termasuk bowling, ping pong, badminton, bola tampar, bola jaring, futsal, tenis, kayak, olahraga dan berakhir dengan Larian Ke Puncak UMS (mendaki bukit)," katanya. Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan UMS Mohd Asyraff Abdullah berkata pihak universiti mengambil berat pembabitan pelajar dalam kegiatan kokurikulum terutama sukan untuk melahirkan modal insan seimbang meliputi perkembangan akademik, fizikal, mental dan rohani.
"Pusat ini akan mewajibkan kakitangan UMS turut serta dalam acara mendaki bukit (UMS) bermula 20 Feb depan dan menjemput orang awam menyertai senamrobik di Stadium UMS bermula setiap petang pada hari Rabu," katanya.
Terdahulu, larian cabaran ke puncak UMS dilepaskan oleh Naib Canselor UMS, Prof Datuk Seri Panglima Dr Kamaruzaman Ampon disertai 280 orang terdiri kakitangan universiti itu. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment